Industri / Obligasi Perkhidmatan Awam / Bagaimana Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) dapat Membantu
Bagaimana Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) dapat Membantu
Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) merupakan perkhidmatan udara yang dijalankan di pedalaman Malaysia Timur dengan pengangkutan udara menjadi mod pengangkutan penting untuk menghubungkan penduduk kawasan luar bandar dengan kawasan lain di dalam negara. Program RAS dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan syarikat penerbangan yang beroperasi di laluan RAS berhak mendapat subsidi.
Bentuk muka bumi yang berceranggah di Malaysia Timur menyebabkan pengangkutan darat sukar digunakan.
Walaupun Sabah dan Sarawak boleh dilalui dengan kenderaan darat, saiz dan keadaan kebanyakan jalan raya menyebabkan keadaan ini tidak praktikal. Oleh itu, pengangkutan sungai menjadi pilihan kedua terbaik terutamanya di Sarawak kerana terdapat banyak sungai yang boleh dilalui, dengan Sungai Rajang paling banyak digunakan. Di kebanyakan tempat, kawasan luar bandar Borneo hanya boleh dimasuki melalui pengangkutan udara atau bot. Dengan keadaan daratnya, pengangkutan udara menjadi satu-satunya pilihan realistik dan merupakan mod pengangkutan awam yang penting bagi penduduk luar bandar yang tinggal di topografi yang diliputi hutan tebal di negeri itu.
Dari | Ke | Tempoh (melalui sungai/darat) | Tempoh (melalui udara) |
Kuching | Sibu |
6 jam 30 minit (melalui jalan raya) 4 jam 30 minit (menggunakan bot ekspres) |
45 minit |
Marudi | Bario | 4 hari (melalui jalan pembalakan) | 40 minit |
Kota Kinabalu | Sandakan | 6 jam 30 minit | 45 minit |
Kota Kinabalu | Lahad Datu | 7 jam 30 minit | 1 jam |
Perbandingan masa perjalanan bagi destinasi terpilih.
Bot pelbagai warna untuk mengangkut penumpang dan barangan di Sungai Sarawak, Borneo.
Oleh itu, bukanlah sesuatu yang mengejutkan di Sabah dan Sarawak jika “lapangan terbang dengan pelepasan dan pendaratan singkat” (short take-off and landing airports atau STOLport) terdapat di serata tempat dengan jarak minimum antara setiap satunya merangkumi 30 minit hingga beberapa jam perjalanan menggunakan pengangkutan udara – perjalanan yang mungkin mengambil lebih daripada seminggu hingga 14 hari jika menggunakan jalan darat, laut atau bot sungai. STOLport ialah lapangan terbang yang direka berdasarkan operasi pesawat ringan STOL (pelepasan dan pendaratan singkat) yang biasanya mempunyai landasan pendek. Di Malaysia, beberapa contoh STOLport merupakan landasan pendaratan terpencil yang dibina di hutan dan menyediakan hanya beberapa perkhidmatan. Di Sabah, STOLport terdapat di Kudat, Long Pasia dan Semporna, manakala di Sarawak, STOLport terdapat di Ba’kelalan, Bario, Belaga, Kapit, Lawas, Long Akah, Long Banga, Long Lellang, Long Semado, Long Seridan, Marudi, Mukah dan Tanjung Manis.
Kakitangan lapangan memeriksa pesawat di lapangan terbang di Malaysia Timur.
Kini, pengangkutan udara sudah menjadi rutin bagi komuniti ini untuk mendapatkan keperluan asas seperti telur, gula, susu dan surat khabar. Selain menyediakan bantuan perubatan dan kecemasan, mod pengangkutan ini juga telah membantu kanak-kanak daripada komuniti ini untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik dan membantu memajukan komuniti mereka dalam pelbagai cara.
Sumber: Great Circle Mapper
RAS sebagai satu mod pengangkutan ternyata penting kerana ia merupakan antara permintaan yang dibuat Sabah dan Sarawak semasa rundingan pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Perjanjian RAS amat penting untuk mengukuhkan perpaduan kebangsaan dan meningkatkan kesalinghubungan antara dua negeri tersebut sehinggalah hari ini.