Industri / Obligasi Perkhidmatan Awam / Profil Malaysia Timur
Profil Malaysia Timur
Malaysia Timur (terdiri daripada negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan) adalah sebahagian daripada Malaysia dan terletak di kepulauan Borneo. Borneo ialah kepulauan ketiga terbesar di dunia dan terpisah dari Semenanjung Malaysia oleh Laut China Selatan. Dengan kedudukannya merentasi garisan Khatulistiwa dan didominasi dengan hutan hujan tropika yang subur, Borneo memiliki antara hutan hujan paling tua dan paling tinggi biodiversitinya, serta pesisiran pantai yang panjang dan kaya dengan alam semula jadi yang menakjubkan.
Berbanding Semenanjung Malaysia, Malaysia Timur mempunyai kurang penduduk dan kurang aktiviti perindustrian, tetapi tanahnya lebih luas dan mempunyai lebih banyak sumber semula jadi – terutamanya kayu balak, minyak dan gas.
Negeri Sarawak merentasi 800 km sepanjang pesisir barat laut Borneo dan bersempadan terus dengan negeri Sabah di timur laut. Sarawak menawarkan kepelbagaian sejarah, budaya dan tarikan semula jadi, manakala Sabah menggamit pengunjungnya dengan kepelbagaian hidupan liar, taman negara, pulau dan pantai yang indah.
Profil Sabah dan Sarawak
Sumber: Kuching Travel Agency
Sarawak dan Sabah merupakan negeri terbesar dan negeri kedua terbesar di Malaysia, masing-masing dengan keluasan 124,450 km persegi dan 73,620 km persegi berbanding dengan Semenanjung Malaysia dengan jumlah keluasan 130,590 km persegi (iaitu 40 peratus daripada jumlah keluasan tanah di Malaysia). Dari segi jumlah keluasan tanah, Sarawak merangkumi kira-kira 90 peratus daripada saiz Semenanjung Malaysia.
Kedua-dua negeri ini juga merupakan negeri kedua dan keempat paling banyak penduduk, dengan 3.80 juta di Sabah dan 2.74 juta di Sarawak, berbanding dengan jumlah keseluruhan penduduk negara sebanyak 31.60 juta pada tahun 2016 (menurut Jabatan Perangkaan Malaysia). Di Sarawak, terdapat 0.04 penduduk bagi setiap kilometer persegi, manakala di Sabah, terdapat 0.01 penduduk bagi setiap km persegi berbanding dengan 95.70 penduduk bagi setiap km persegi di Semenanjung Malaysia. Penduduk di Malaysia Timur sangat berserakan, dengan 46 peratus penduduk di Sarawak dan Sabah menetap di kawasan luar bandar berbanding purata kebangsaan sebanyak 29 peratus; dan 20 peratus di Semenanjung Malaysia. Kepadatan penduduk yang rendah di dua negeri ini juga berkait dengan tahap urbanisasi mereka.
Mengapa Pengangkutan Udara Penting di Sarawak dan Sabah
Bentuk muka bumi di Sarawak dan Sabah yang berceranggah serta kawasannya yang luas, membataskan kemasukan pengangkutan darat ke kawasan pedalaman. Landskap kedua-dua negeri ini merangkumi tanah paya di sekitar pinggir laut, dataran sungai dan banjaran gunung yang luas dan diliputi dengan hutan hujan yang tebal. Ciri geografi ini menghalang kesalinghubungan jalan raya antara kawasan tengah Sarawak dengan kawasan pedalamannya dan kawasan tengah Sabah dengan kawasan baratnya.
Profil Sabah and Sarawak
Sumber: Researchgate.net
Di Sarawak, rangkaian jalan rayanya kurang dibangunkan dan infrastruktur jalan raya yang sedia ada lebih banyak ditumpukan untuk menghubungkan bandar di sepanjang pinggir laut. Oleh sebab Sarawak kira-kira 70 peratus lebih besar daripada Sabah, kesalinghubungan jalan raya di Sarawak adalah lebih rendah berbanding dengan Sabah. Lima puluh peratus jalan raya di Sabah dan 30 peratus jalan raya di Sarawak terdiri daripada jalan batu kelikir atau tanah.
Keadaan jalan luar bandar yang kurang memuaskan di Malaysia Timur.
Sumber: ‘Sabah Progressive Party’
Pada masa ini, projek lebuh raya Pan-Borneo sedang dijalankan di dua negeri ini untuk menaik taraf infrastruktur jalan raya pinggir laut sedia ada yang kini dikenal sebagai lebuh raya Trans-Borneo. Lebuh raya ini merupakan sistem jalan raya utama yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei. Projek Pan-Borneo ini melibatkan penaiktarafan jalan raya daripada jalan dua lorong dua hala kepada jalan empat lorong dua hala, jambatan moden, kawasan rehat dan rawat, kawasan hentian sebelah dan persimpangan.
Source: See Hua Daily News
Sarawak dicirikan oleh rangkaian sungai yang luas dan boleh dilalui yang membentuk sistem pengangkutan air pedalaman. Negeri ini telah mewartakan 35 sungai (di bawah Ordinan Sungai-Sungai Sarawak 1993) dengan jumlah keseluruhan panjang sungai kira-kira 5,000 km, dan daripada jumlah ini kira-kira 3,300 km sungai boleh dilalui. Sungai Rajang (sepanjang 567 km), bukan sahaja merupakan sungai paling penting di Sarawak, malah merupakan sungai yang paling panjang di Malaysia. Sungai utama lain yang boleh dilalui termasuklah Batang Baram, Batang Kemena, Batang Tatau, Sungai Limbang, Batang Lupar, Batang Sadong, dan Sungai Sarawak.
Sistem sungai di Sabah dan Sarawak.
Sumber: United Nations Development Programme
Di Sarawak, sungai yang boleh dilalui ini menjadi tulang belakang bagi sistem pengangkutan sungai negeri dan sangat penting bagi sebahagian besar penduduk Sarawak yang tinggal di pedalaman dan sepanjang pinggir laut.
Walaupun aktiviti perkapalan pinggir laut bukanlah sebahagian daripada sistem pengangkutan air pedalaman di Sarawak, aktiviti ini menjadi pengantara penting antara sungai dengan penempatan dalam keseluruhan sistem. Oleh sebab sebahagian besar penduduk tinggal di pedalaman dan sepanjang pinggir laut, sistem pengangkutan air pedalaman di Sarawak memainkan peranan penting sebagai mod pengangkutan utama – seperti di negeri Semenanjung Malaysia yang lebih banyak menggunakan jalan raya dan kereta api sebagai sistem pengangkutan utamanya. Sungai juga menyediakan laluan yang efisien bagi sumber seperti kayu balak dan juga bahan pertanian lain untuk sampai ke pelabuhan laut dalam antarabangsa untuk dieksport.
Seorang lelaki bersama motosikalnya di atas sampan yang menyeberangi sebatang sungai di Bako. Kampung Bako merupakan komuniti nelayan yang kecil.
Perkhidmatan bot ekspres banyak menggunakan jalan air pedalaman untuk sampai ke kawasan luar bandar yang tidak dapat dimasuki melalui jalan darat, sama seperti perjalanan di sepanjang cawang Sungai Rajang. Komuniti di pedalaman sepanjang Sungai Rajang dan cabangnya bergantung pada sungai untuk mendapatkan kemudahan asas seperti sekolah dan perkhidmatan kesihatan.
Perkhidmatan bot ekspres sungai merupakan pengangkutan penting bagi kawasan luar bandar Sarawak.
Sistem pengangkutan sungai ini menghubungkan komuniti luar bandar dengan pekan dan bandar yang lebih besar, mengurangkan pemencilan serta menyediakan peluang pekerjaan. Di samping itu, promosi ekopelancongan berasaskan komuniti di sepanjang sungai bukan sahaja memberikan pendapatan tambahan kepada Sarawak, bahkan menyediakan peluang pekerjaan kepada komuniti miskin dan membantu meningkatkan kesedaran terhadap keperluan pengurusan sungai yang mampan.
Di Sarawak dan Sabah, pengangkutan udara juga sama pentingnya dan merupakan satu keperluan, terutamanya di tempat yang mana sistem komunikasinya masih dibangunkan dan keadaan jalan raya yang teruk atau tidak wujud di sesetengah kawasan. Dengan 64 peratus jumlah keluasan tanah Sarawak diliputi oleh hutan primer dan sekunder, serta bentuk muka bumi yang berceranggah, pengangkutan udara menjadi satu-satunya cara menghubungkan kawasan yang terpencil, kurang penduduk atau tidak dapat dimasuki di Malaysia, dengan kawasan lain di dalam negara.