Pilih satu Halaman

Industri / Obligasi Perkhidmatan Awam / Sejarah RAS

Sejarah RAS

Penerbangan luar bandar dan antara jajahan (Borneo Utara, Brunei dan Sarawak), seperti yang dikenal sebelum RAS, amat penting dalam menghubungkan Sabah dan Sarawak melalui jalan udara.

Apabila Malaysia ditubuhkan, telah dipersetujui bahawa Kerajaan Malaysia akan terus memberikan subsidi RAS di Sabah dan Sarawak, sejajar dengan penetapan penerbangan awam di bawah bidang kuasa persekutuan. Menurut sejarah, RAS dikendalikan oleh Borneo Airways Ltd., Malaysia-Singapore Airways Ltd., Malaysia Airline System and Fly Asian Xpress Sdn. Bhd. (“FAX”).

Pengendali RAS sejak penubuhannya adalah seperti yang berikut:

Borneo Airways Limited

Borneo Airways pertama yang dikenali sebagai “Borneo Airways Limited”, ditubuhkan pada tahun 1957 sebagai syarikat penerbangan yang beroperasi di British Borneo (terdiri daripada empat bahagian utara kepulauan Borneo, kini dikenali sebagai Brunei, Labuan, Sabah dan Sarawak). Sejarahnya dapat disusul kembali hingga tahun 1947, yang ketika itu dikenali sebagai Sabah Airways Limited, ditubuhkan oleh Straits Steamship Company Limited dan kerajaan British Borneo Utara.

Malaysia-Singapore Airlines

Pada tahun 1965, Borneo Airways telah digabungkan dengan Malaysian Airways dan ini membawa kepada penubuhan Malaysia–Singapore Airlines. Pada tahun 1966, selepas Singapura keluar daripada persekutuan, syarikat penerbangan itu telah ditukar namanya kepada Malaysia-Singapore Airlines (MSA), sebelum asetnya dibahagikan pada tahun 1972 untuk membentuk dua syarikat penerbangan kebangsaan yang berbeza – Malaysian Airline System (MAS) and Singapore Airlines.

Malaysian Airline System (1976 – 2006)

Selepas MSA, Malaysian Airline System (MAS) mengambil alih semua laluan domestik di dalam Malaysia dan laluan antarabangsa di luar Malaysia. Penerbangannya dimulakan pada 1 Oktober 1972 dan tidak lama kemudian melebarkan sayapnya, termasuk memperkenalkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke London. MAS mengendalikan penerbangan RAS sehingga tahun 2006 apabila MAS memperkenalkan pelan pemulihan perniagaannya yang melibatkan penamatan beberapa laluan seperti laluan RAS.

Fly Asian Xpress Sdn. Bhd. (kemudiannya dikenal sebagai AirAsia X Sdn. Bhd.) (2006 – 2007)

Pada tahun 2006, Kabinet telah memutuskan pelaksanaan pelan rasionalisasi sektor perkhidmatan penerbangan domestik yang termasuk RAS. Sehubungan dengan pelan rasionalisasi tersebut, Fly Asian Express Sdn. Bhd. (FAX) ditubuhkan oleh AirAsia Berhad untuk memulakan operasi RAS yang meliputi 39 laluan bermula 1 Ogos 2006. FAX (dimiliki oleh tokoh penting AirAsia dengan modal sebanyak RM2 juta), bermula sebagai syarikat swasta yang ditubuhkan untuk mengambil alih RAS daripada MAS, dengan kontrak selama 24 bulan untuk beroperasi di laluan RAS. Operasi RAS oleh FAX hanya bertahan dari 1 Ogos 2006 hingga 30 September 2007 dan berakhir disebabkan kesukaran operasi dan kewangan. Selepas penamatan kontrak RAS pada September 2007, FAX telah menukar namanya kepada AirAsia X Sdn. Bhd.

MASwings Sdn. Bhd. (Dari 2007)

* Bagi maklumat lanjut tentang MASwings, sila lihat program semasa RAS.

 

Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO)

Di Malaysia, contoh utama PSO dalam industri penerbangan ialah Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) yang menghubungkan kawasan terpencil, kurang penduduk atau tidak dapat dimasuki di Sabah dan Sarawak, dengan kawasan lain di dua negeri tersebut dan di seluruh negara.

Menurut Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015, PSO ditakrifkan sebagai pengadaan suatu perkhidmatan bagi suatu perjalanan berjadual di antara aerodrom –

  • yang satu aerodrom atau lebih menghubungkan suatu wilayah dalam Malaysia yang terpencil atau kurang penduduk atau menghadapi isu perhubungan yang signifikan oleh sebab kepinggiran geografinya atau kekurangan pilihan pengangkutan darat yang mencukupi; atau
  • yang menghubungkan suatu laluan yang dianggap penting bagi pembangunan ekonomi dan sosial Malaysia atau demi kepentingan negara,

yang tidak akan dibuat oleh syarikat penerbangan jika syarikat penerbangan itu hanya menimbangkan kepentingan komersialnya semata-mata.