Pilih satu Halaman

Inisiatif Terpilih / Cadangan-cadangan Jangka Masa Panjang MAVCOM untuk Industri Penerbangan Awam Malaysia (2021 – 2030) / Pengenalan

Cadangan-cadangan Jangka Masa Panjang MAVCOM untuk Industri Penerbangan Awam Malaysia (2021 – 2030)

Pengenalan

Sebagai sebahagian daripada peranan MAVCOM untuk menasihati dan memberi cadangan dari segi ekonomi kepada Menteri Pengangkutan (MOT) bagi perkara-perkara berkaitan dengan dasar penerbangan awam, Suruhanjaya telah menyediakan satu kertas cadangan kepada MOT untuk menentukan hala tuju strategik jangka masa panjang untuk sektor penerbangan awam di Malaysia.

Melalui kertas cadangan ini, MAVCOM ingin membangunkan satu sektor penerbangan awam yang mampan dan berdaya tahan bagi memudahkan pembentukan ekonomi Malaysia sebagai satu destinasi aktiviti ekonomi utama di peringkat global. Cadangan-cadangan MAVCOM dijangka akan dilaksanakan dalam tempoh jangka masa panjang antara 2021 dan 2030.

Kertas cadangan ini merangkumi perkara-perkara ekonomi dalam beberapa sub-sektor industri penerbangan awam yang sejajar dengan tanggungjawab MAVCOM, seperti yang ditakrifkan dalam Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771]:

 

  • Pengangkutan udara penumpang dan kargo, yang dijadual dan tidak dijadual (operasi piagam)
  • Operasi Aerodrom (lapangan terbang)
  • Perkhidmatan pengendalian darat, seperti pengendalian penumpang, pengendalian bahan api dan minyak, katering, dan penyelenggaraan (penyelenggaraan yang dilakukan pada pesawat atau berhampiran pintu masuk atau terminal seperti landasan terbang).

 

Rajah 1 di bawah menggambarkan aspek-aspek yang ditumpukan dalam kertas cadangan:

Rajah 1: Nilai rantaian industri penerbangan dan liputan sektoral dalam kertas cadangan


Sumber : MAVCOM

Sub-sektor yang dianggap sebagai huluan (upstream) di dalam nilai rantaian industri seperti reka bentuk, kejuruteraan dan pembuatan pesawat, penyewaan, danpenyelenggaraan, pembaikan dan pembaikpulihan adalah tidak termasuk dalam kertas cadangan ini. Di samping itu, Perkhidmatan Navigasi Udara, yang di bawah bidang kuasa pengawal selia teknikal dan keselamatan iaitu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), juga berada di luar skop kertas cadangan ini.

Tonggak-tonggak strategik yang telah ditentukan oleh MAVCOM dalam kertas cadangan adalah seperti berikut:

  • Mewujudkan dan mengekalkan persekitaran komersial yang adil dan kompetitif
  • Menyediakan infrastruktur lapangan terbang yang sesuai
  • Memajukan asas yang kukuh bagi pembangunan modal insan yang berkaitan dengan sektor penerbangan awam

 


Sumber : MAVCOM

Pembangunan kertas cadangan ini adalah berdasarkan penyelidikan dalaman dan analisis yang berkaitan dengan pembangunan ekonomi sektor penerbangan awam di Malaysia. 

Dalam pembangunan kertas cadangan ini, MAVCOM melibatkan pelbagai pihak berkepentingan seperti kementerian-kementerian dan agensi-agensi seperti MOT, CAAM, Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Bank Negara Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, serta pengendali sektor penerbangan awam Malaysia seperti Malaysia Airport Holdings Berhad, Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd., Malaysia Airlines Berhad, AirAsia Group Berhad, Malindo Airways Sdn. Bhd., Pemegang Permit Perkhidmatan Udara, dan pemegang Lesen Pengendalian Darat yang terpilih.

Penjelasan bagi setiap tonggak strategik dalam kertas cadangan ini dan yang berkaitan dengannya boleh didapati di halaman Ringkasan.