Inisiatif Terpilih / Cadangan-cadangan Jangka Masa Panjang MAVCOM untuk Industri Penerbangan Awam Malaysia (2021 – 2030) / Rangka Kerja
Rangka Kerja
Kertas cadangan MAVCOM mengesyorkan bahawa pelan ini dilaksanakan antara tahun 2021 dan 2030. Tahun 2019 dan 2020 adalah tempoh penetapan asas, di mana langkah-langkah seperti perangkaan dasar baru, strategi dan pelan, serta faktor-faktor yang lain seperti pengukuhan institusi dan kerja dasar harus dilaksanakan. Rangka kerja dalam kertas cadangan adalah digambarkan seperti Rajah 1 di bawah:
Sumber : MAVCOM
Visi dan Objektif
Visi keseluruhan yang digariskan dalam kertas cadangan ini bertumpu kepada kemampanan dan daya tahan pembangunan sektor penerbangan awam bagi menyokong evolusi Malaysia sebagai satu destinasi aktiviti ekonomi utama di peringkat global menjelang 2030, sejajar dengan Teras Dasar Pengangkutan Negara ke-5 (“Memperluaskan jejak di peringkat global dan menggalakkan pengantarabangsaan perkhidmatan pengangkutan”). Memandangkan terdapat hubungan yang kukuh antara sumbangan sektor pelancongan dan perdagangan terhadap perkembangan ekonomi dan perhubungan udara, saluran utama antara sektor penerbangan awam dan peranannya dalam perkembangan ekonomi Malaysia ialah perhubungan udara.
Walaupun ia merupakan satu pra-syarat yang diperlukan, satu sektor penerbangan awam yang berprestasi tinggi hanya merupakan salah satu daripada pemangkin bagi Malaysia mencapai visinya untuk menjadi sebuah negara yang maju, melalui transformasi Malaysia menjadi satu destinasi aktiviti ekonomi utama di peringkat global. Sektor penerbangan juga perlu menjadi sebahagian daripada perhubungan pengangkutan berbilang mod dan rangkaian telekomunikasi yang cekap, berkesan, dan lestari untuk memainkan peranan yang penting dalam trajektori Malaysia menjadi satu destinasi utama bagi sektor pelancongan dan perdagangan di peringkat global. Pertumbuhan sektor penerbangan juga bergantung kepada prestasi sektor pelancongan dan perdagangan, di mana permintaan sektor-sektor tersebut terbit daripada penumpang dan kargo. Oleh itu, untuk merealisasikan cadangan-cadangan oleh Suruhanjaya, objektif strategik kertas cadangan iaitu memaksimumkan perhubungan udara perlu diselarikan dengan usaha untuk mengembangkan ekonomi Malaysia, terutamanya dari segi pelancongan dan perdagangan.
Tonggak-tonggak Strategik
Perhubungan udara yang maksimum memerlukan komitmen dalam pelaksanaan tiga Tonggak Strategik melalui pelan tindakan yang relevan, yang digariskan di dalam kertas cadangan Suruhanjaya:
-
Penubuhan dan pengekalan persekitaran komersial yang adil dan kompetitif
Satu sektor penerbangan awam yang berprestasi tinggi hanya boleh wujud dalam persekitaran komersial yang adil dan kompetitif. Walaupun konsep “adil” wujud dalam pelbagai dimensi, MAVCOM telah menyatakan bahawa Suruhanjaya menggunakan prinsip persaingan yang adil dari segi peraturan ekonomi di dalam sektor penerbangan awam Malaysia. Ia menggalakkan keadilan dari segi ekuiti atau pembahagian yang adil, yang merupakan sebahagian daripada objektif keseluruhan untuk memaksimumkan kebajikan pengguna, serta melindungi sektor ini daripada amalan anti-persaingan. Prinsip ini juga diterapkan melalui aktiviti perlindungan pengguna yang berkesan, serta laluan Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO).
-
Penyediaan kemudahan infrastruktur lapangan terbang yang sesuai, cekap, dan berkesan dari segi prestasi kewangan dan penyediaan perkhidmatan
Tahap perhubungan udara yang tinggi akan dikukuhkan oleh prasarana lapangan terbang yang optimum, yang ditakrifkan sebagai prasarana yang memenuhi keperluan pengguna lapangan terbang, iaitu penumpang dan syarikat-syarikat penerbangan, serta mempunyai kewangan yang mampan. Syarikat-syarikat penerbangan akan mengusahakan perkhidmatan ke lapangan-lapangan terbang yang mempunyai operasi pengendalian yang cekap dan mempunyai kualiti perkhidmatan yang tinggi, kerana ia mempengaruhi kecekapan, harga, dan rangkaian perkhidmatan penerbangan mereka sendiri. Memandangkan modal dan kos operasi pengendalian dan pembangunan lapangan terbang adalah tinggi, amatlah penting bagi lapangan terbang untuk mencapai pulangan paling optimum berbanding kos pembiayaan mereka.
-
Pemajuan asas modal insan yang kuat yang berkaitan dengan sektor penerbangan awam dapat menyokong pembangunan sektor ini
Perhubungan udara yang cekap dan infrastruktur lapangan terbang yang optimum hanya boleh disokong oleh modal insan yang berkesan dan cekap, bukan sahaja dari segi kemahiran teknikal, tetapi juga dari segi pengurusan dan pentadbiran.
Prasyarat
Perlu ditekankan bahawa kejayaan pelaksanaan Tonggak-tonggak Strategik yang digariskan di atas adalah bergantung kepada dua faktor: kewujudan institusi yang kukuh dan penubuhan Strategi Penerbangan Nasional (NAS atau Strategi).
A. Institusi yang kukuh
Kerajaan Malaysia memainkan beberapa peranan yang bertindih dan kadangkala bercanggah dalam sektor penerbangan awam Malaysia. Oleh itu, satu faktor penting bagi kejayaan pelaksanaan cadangan MAVCOM ini adalah penggarisan peranan dan tanggungjawab dalam sektor penerbangan. Ia bertujuan untuk menghapuskan kepentingan yang bercanggah, di samping dapat menyeragamkan dasar dari segi matlamat dan hala tuju.
Di samping itu, pelaksanaan cadangan MAVCOM memerlukan tahap koordinasi yang tinggi antara kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan. Oleh itu, keupayaan institusi-institusi ini perlu dikukuhkan dari segi modal insan, kecekapan teknikal dan operasi, serta teknologi. Sebagai contoh, dengan berkembangnya industri penerbangan global, keupayaan adalah diperlukan untuk menilai dan mempersiapkan usaha-usaha liberalisasi dan kesan perubahan besar teknologi.
B. Strategi Penerbangan Nasional (NAS)
Walaupun dengan adanya Dasar Pengangkutan Negara, NAS masih perlu dibangunkan untuk melaksanakan saranan MAVCOM kerana NAS adalah instrumen pemangkin yang utama. Walaupun Dasar Pengangkutan Negara mengandungi langkah-langkah yang berkaitan dengan sektor penerbangan awam, namun ia diletakkan dalam konteks rangka kerja perhubungan pengangkutan berbilang mod dan oleh itu, tidak semestinya khusus untuk sektor penerbangan. Terma rujukan untuk NAS harus merujuk kepada yang berikut:
- Pengenalpastian objektif yang jelas dan mengutamakan pembangunan sektor penerbangan awam, dengan arah yang jelas untuk mengutamakan keseimbangan antara faktor-faktor ekonomi, keselamatan, alam sekitar, dan kemakmuran masyarakat
- Mengetengahkan dasar pengurusan ekonomi sektor penerbangan awam, termasuk dan tidak terhad kepada, liberalisasi dan pemilikan dan pengurusan aset pengangkutan
- Terma rujukan untuk panduan tambahan sektor ini, termasuk undang-undang, peraturan, dan rancangan dan strategi yang berkaitan.