Tentang Kami / Mengenai Kami
Mengenai Kami
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 2016 di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] sebagai satu entiti bebas yang bertanggungjawab untuk mengawal selia perkara ekonomi dan komersial berhubungan dengan industri penerbangan awam di Malaysia. Matlamat kami adalah untuk menjadikan industri penerbangan awam di Malaysia berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya tahan, agar dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Fungsi-fungsi kami, seperti yang dinyatakan di dalam Akta 771 tersebut, merangkumi:
- mengawal selia perkara ekonomi yang berhubungan dengan industri penerbangan awam;
- memperuntukkan suatu mekanisme bagi perlindungan pengguna;
- memperuntukkan suatu mekanisme bagi penyelesaian pertikaian antara penyedia perkhidmatan penerbangan;
- mentadbir dan menguruskan hak trafik udara; dan
- menasihati Kerajaan, mentadbir dan menguruskan laluan-laluan di bawah obligasi perkhidmatan awam.
Fungsi MAVCOM adalah berbeza daripada fungsi Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan  Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). MOT bertanggungjawab untuk menggubal dasar utama serta perbincangan antara kerajaan dengan kerajaan (termasuklah untuk menerajui rundingan dua hala atau pelbagai hala mengenai hak trafik udara), manakala CAAM pula akan terus mengawal selia aspek teknikal dan keselamatan bagi industri penerbangan awam di Malaysia.