Menteri Pengangkutan Melancarkan Sistem Elektronik Pelesenan Pertama bagi Industri Penerbangan Malaysia dan Panduan Nasihat Perjalanan FlySmart
KUALA LUMPUR, 6 November 2021 – Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong melancarkan “AeroLicence”, sistem pelesenan elektronik pertama industri penerbangan Malaysia bagi penyedia perkhidmatan penerbangan dan memperkenalkan Panduan Nasihat Perjalanan baharu di dalam aplikasi mudah alih FlySmart, sebagai sebahagian daripada inisiatif digital Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM atau Suruhanjaya) bagi membantu pemulihan industri penerbangan negara.
Sistem AeroLicence Baharu
Sistem AeroLicence baharu ini memperbaik dan memudahkan pemprosesan kesemua lesen dan permit penerbangan komersial yang dikeluarkan oleh MAVCOM seperti Lesen Perkhidmatan Udara (ASL), Permit Perkhidmatan Udara (ASP), Lesen Pengendalian Darat (GHL), dan Lesen Pengendali Aerodrom (AOL).
AeroLicence dibangunkan berdasarkan keperluan untuk meningkatkan kecekapan dan mempermudahkan penyedia perkhidmatan penerbangan. Sistem AeroLicence memperkenalkan pendekatan digital dalam permohonan lesen baharu, pembaharuan lesen serta dalam penyerahan laporan suku tahunan kepada Suruhanjaya. Sistem atas talian ini mengurangkan keperluan penyerahan dokumen dan data penyedia perkhidmatan udara secara fizikal serta memastikan proses permohonan yang selamat dan tanpa sentuh.
Melalui sistem AeroLicence, penyedia perkhidmatan udara akan dibimbing melalui arahan langkah demi langkah yang komprehensif untuk membantu dan mengurangkan ralat semasa proses penyerahan dokumen dan data. Tambahan pula, data sejarah syarikat akan disimpan di dalam sistem tersebut dan dilindungi dengan kawalan keselamatan yang ketat. Ini juga dapat mengurangkan risiko penyerahan permohonan yang tidak lengkap dan mengelakkan penyerahan semula dokumen dan data berulang kali yang menjejaskan masa pemprosesan untuk kelulusan permohonan lesen atau permit.
Selain itu, pemegang lesen yang berdaftar dengan MAVCOM akan menerima notifikasi secara automatik bagi pembaharuan lesen dan permit serta penyerahan dokumen-dokumen lain yang diperlukan.
MAVCOM telah melibatkan pemain-pemain industri, yang merupakan pemegang lesen Suruhanjaya dalam membangunkan sistem AeroLicence untuk mendapatkan maklum balas mereka mengenai sistem tersebut. Proses konsultasi ini membolehkan Suruhanjaya mengenalpasti perkara-perkara yang perlu dibaikpulih sebelum AeroLicence dilancarkan.
Panduan Nasihat Perjalanan di dalam Aplikasi Mudah Alih FlySmart
Selaras dengan matlamat MAVCOM untuk meningkatkan lagi kesedaran mengenai hak-hak pengguna, Suruhanjaya telah memperkenalkan panduan nasihat perjalanan sebagai penambahbaikan kepada aplikasi mudah alih FlySmart. Aplikasi FlySmart telah diperkenalkan oleh MAVCOM pada tahun 2019 bagi pengguna untuk mengemukakan aduan mereka kepada Suruhanjaya sekiranya mereka tidak menerima resolusi yang memuaskan daripada syarikat penerbangan atau lapangan terbang, dan untuk mendapatkan maklumat mengenai hak-hak pengguna penerbangan di mana-mana sahaja.
Penambahbaikan yang terkini ini membolehkan aplikasi mudah alih FlySmart menjadi pusat sehenti bagi pengguna yang melakukan perjalanan dalam norma baharu. Panduan Nasihat Perjalanan baharu dalam aplikasi FlySmart menyediakan maklumat terkini mengenai peraturan dan sekatan perjalanan udara termasuk sekatan sempadan, keperluan ujian COVID-19, vaksinasi serta keperluan kuarantin di seluruh dunia, antara lainnya. Fungsi terbaharu ini menjadi rujukan bagi pengguna sebelum perjalanan mereka oleh kerana keperluan perjalanan sentiasa berubah dan berbeza di serata dunia.
Aplikasi ini juga memperkenalkan segmen Soalan Lazim (FAQ) baharu yang dilengkapi dengan senarai jawapan yang komprehensif kepada soalan-soalan yang lazim ditanya mengenai hak perjalanan udara sebagai sebahagian daripada usaha Suruhanjaya untuk membina kesedaran, mendidik dan memperkasakan pengguna mengenai hak-hak penerbangan mereka.
Selain daripada itu, aplikasi mudah alih FlySmart mempunyai perincian butiran syarikat penerbangan dan lapangan terbang tempatan dan asing untuk membolehkan pengguna menghubungi penyedia perkhidmatan penerbangan dengan mudah mengenai isu penerbangan atau perjalanan mereka.
Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, “Perjalanan udara amat diperlukan di Malaysia. Ketika negara sedang bersiap sedia untuk pemulihan sektor penerbangan, penggunaan teknologi digital yang meluas menjadi lebih penting dalam perancangan untuk membina daya tahan industri dan sektor penerbangan yang kukuh lagi mampan. Maka, pengenalan inisiatif digital AeroLicence serta aplikasi FlySmart yang telah ditambahbaik oleh MAVCOM ini datang tepat pada masanya.
“Penggabungan inisiatif-inisiatif digital MAVCOM akan membantu penyedia perkhidmatan penerbangan dalam sektor yang senantiasa berkembang serta menambah keyakinan pengguna penerbangan. Pelancaran AeroLicence dan penambahbaikan aplikasi FlySmart memainkan peranan besar dalam menyokong pelan Kerajaan untuk mendigitalisasi perkhidmatan bagi Rakyat serta komuniti perniagaan. Secara kesimpulannya, inisiatif-inisiatif ini bertepatan dengan keperluan kritikal industri serta pengguna dalam usaha untuk mempertingkatkan kemampanan sektor penerbangan negara,” akhiri YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong.
Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim berkata, “Pelancaran AeroLicence dan penambahbaikan aplikasi FlySmart menandakan pendekatan holistik Suruhanjaya sebagai pengawalselia ekonomi dan pembela hak-hak pengguna bagi sektor penerbangan negara. Inisiatif-inisiatif digital yang diperkenalkan akan membantu perniagaan dalam pemulihan daripada pasca wabak COVID-19 dan membantu pengguna untuk melakukan perjalanan dengan lebih yakin dalam situasi semasa ini. MAVCOM kekal utuh dalam komitmen kami untuk menghidupkan semula sektor penerbangan sambil memperjuangkan hak-hak pengguna dan akan terus meneroka cara-cara lain untuk mengukuhkan sektor supaya pertumbuhan masa hadapan adalah lebih teguh dan mampan.”
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai AeroLicence, sila lihat infografik AeroLicence di sini.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai FlySmart, sila lihat infografik FlySmart di sini.
Untuk *ucapan Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, sila klik di sini.
Untuk *ucapan Menteri Pengangkutan, YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, sila klik di sini.
Sila muat turun aplikasi mudah alih FlySmart terkini dari Google Playstore (pengguna Android) di sini atau Apple App Store (pengguna iOS) di sini.
*Nota: Bahan media hanya terdapat dalam Bahasa Inggeris sahaja.