Pengguna / Caj / Kenaikan harga selepas pembelian
Kenaikan harga selepas pembelian
Secara amnya, syarikat penerbangan tidak boleh menaikkan harga tiket selepas pembayaran telah dibuat. Satu-satunya pengecualian adalah jika terdapat pertambahan bagi apa-apa cukai atau bayaran yang ditetapkan oleh Kerajaan, atau fi yang dikenakan oleh Suruhanjaya.
Ilustrasi 1
Ali telah membeli tiket penerbangan kelas bisnes ke New Zealand melalui laman web Syarikat Penerbangan XYZ. Jumlah yang dinyatakan pada halaman pengesahan akhir yang perlu dibayar oleh Ali ialah RM800.
Seminggu kemudian, Syarikat Penerbangan XYZ telah menghantar e-mel kepada Ali untuk memaklumkan bahawa terdapatnya masalah dalam sistem dan tiket Ali telah dibatalkan. Syarikat penerbangan tersebut seterusnya menjelaskan bahawa harga sebenar yang perlu dibayar oleh Ali ialah RM12,000.
Bolehkah Ali meminta syarikat penerbangan itu untuk mengekalkan harga tiket penerbangan pada RM800?
Syarikat penerbangan tersebut tidak boleh mengenakan caj sebenar tiket tersebut kepada Ali dan pada masa yang sama, Ali tidak boleh meminta syarikat penerbangan itu untuk mengekalkan harga tiket penerbangan pada RM800.
Ilustrasi 2
Hani telah membeli tiket penerbangan ke Hong Kong melalui laman web Syarikat Penerbangan XYZ. Jumlah yang dinyatakan pada halaman pengesahan akhir yang perlu dibayar oleh Hani ialah RM1,500. Sewaktu mendaftar masuk di lapangan terbang, Syarikat penerbangan tersebut meminta Hani membuat pembayaran tambahan sebanyak RM500. Syarikat penerbangan itu menjelaskan bahawa terdapat masalah dalam sistem dan harga sebenar tiket penerbangan tersebut ialah RM2,000.
Perlukah Hani membuat pembayaran tambahan tersebut?
Sebenarnya, Hani tidak perlu membuat apa-apa bayaran tambahan, dan syarikat penerbangan tersebut mempunyai hak untuk membatalkan tiket disebabkan kesilapan sistem. Walau bagaimanapun, oleh kerana isu ini hanya dibangkitkan oleh syarikat penerbangan semasa Hani sudah berada di lapangan terbang, syarikat penerbangan itu mungkin akan membenarkan Hani menaiki penerbangan tersebut.
Untuk keterangan lanjut, sila rujuk kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) – Bahagian II, Perenggan 4: Takat Perkhidmatan Minimum dan Standard Prestasi Syarikat Penerbangan dan Pengendali Aerodrom – Larangan Menaikkan Harga Selepas Pembelian.
Anda juga boleh merujuk kepada video animasi pendek kami berkenaan topik ini: