Pilih satu Halaman

Pengguna / Syarikat Penerbangan dan Harga Tiket / Komunikasi mengenai perubahan status penerbangan

Komunikasi mengenai perubahan status penerbangan

Perubahan terhadap suatu penerbangan boleh berlaku atas pelbagai sebab, termasuk pembatalan, penangguhan, pelencongan dan pemberhentian laluan. Ini boleh menjejaskan rancangan anda, dan oleh sebab itulah syarikat penerbangan diwajibkan untuk memaklumi anda mengenai sebarang perubahan sejurus sahaja ia berlaku. Hal ini hendaklah dinyatakan dengan jelas dalam terma dan syarat-syarat tiket anda.

Malah, syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia juga bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah yang wajar bagi menghubungi anda dengan segera apabila berlaku sebarang perubahan penerbangan.

Sekiranya syarikat penerbangan memutuskan untuk berhenti mengendalikan sesuatu destinasi tertentu, syarikat penerbangan itu seharusnya memaklumkan kepada pengguna penerbangan sekurang-kurangnya satu bulan sebelum tarikh pemberhentian laluan tersebut.

Sekiranya terdapat penerbangan yang dijadualkan semula lebih daripada tiga jam sebelum atau selepas waktu perlepasan yang dijadualkan, syarikat penerbangan mesti memaklumkan kepada pengguna dalam masa 12 hingga 48 jam dari waktu perlepasan yang dijadualkan tersebut.

Ilustrasi 1

Ali ingin ke Bangkok untuk sebuah mesyuarat dan penerbangan Ali dijadualkan untuk berlepas ke Bangkok pada jam 6.30 pagi. Dua hari sebelum penerbangan, syarikat penerbangan ABC menghantar e-mel kepada Ali yang memaklumkan bahawa penerbangan tersebut telah dijadualkan semula pada jam 3.00 petang. Ini akan menyebabkan Ali untuk terlepas mesyuarat beliau.

Ali diberi pilihan untuk meneruskan penerbangan pada waktu pelepasan yang baru atau untuk mendapatkan bayaran balik sepenuhnya. Apa yang boleh dibuat oleh Ali?

Pertukaran jadual penerbangan tidak dapat dielakkan dalam industri penerbangan oleh sebab pelbagai hal operasi. Syarikat penerbangan wajib memberi notis yang secukupnya serta pilihan penerbangan alternatif seawal mungkin atau bayaran balik sepenuhnya kepada pengguna penerbangan yang terjejas.

Dalam kes ini, berdasarkan kontrak pengangkutan, syarikat penerbangan bertanggungjawab untuk memastikan Ali sampai ke destinasi dari Kuala Lumpur ke Thailand seperti yang dinyatakan dalam tiket penerbangan beliau.

Ali telah diberi notis yang secukupnya tentang pertukaran jadual penerbangan beliau. Dia boleh memilih sama ada:   

(i)   untuk mendapat bayaran balik sepenuhnya; atau

(ii) untuk terbang kemudian menurut jadual penerbangan baru yang diberi oleh syarikat penerbangan.

Ali boleh memilih untuk membeli tiket penerbangan baru dengan syarikat penerbangan pilihannya. Namun begitu, Ali tidak akan dapat menuntut perbezaan tambang antara tiket yang baru dan tiket yang dibeli sebelumnya dengan Syarikat Penerbangan ABC. Ini kerana Ali telah diberi notis yang secukupnya tentang pilihan untuk memilih sama ada untuk mendapat bayaran balik sepenuhnya atau penerbangan alternatif.

Bagi pengguna penerbangan yang ingin membuat tuntutan daripada syarikat insurans, mereka boleh meminta syarikat penerbangan untuk memberi satu surat pengesahan mengenai pembatalan atau penundaan penerbangan. Surat tersebut hendaklah diberi kepada pengguna dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh permintaan bagi tuntutan insurans tersebut.

Jika anda percaya bahawa usaha sewajarnya tidak diambil untuk menghubungi anda mengenai perubahan status penerbangan, anda harus membawa perkara ini kepada syarikat penerbangan tersebut (lihat Butiran syarikat penerbangan dan lapangan terbang) sebelum menghubungi MAVCOM.

 

Ilustrasi 2

Pada bulan Februari, Hani telah membeli tiket penerbangan ke Miami untuk percutian pada bulan Oktober. Tiga bulan sebelum penerbangan beliau, syarikat penerbangan tersebut memaklumkan kepada Hani bahawa mereka akan memberhentikan operasi penerbangan ke Miami mulai 1 September.

Syarikat penerbangan tersebut memberi pilihan yang berikut kepada Hani:

1) untuk mendapat bayaran balik sepenuhnya

2) untuk terbang pada tarikh yang lebih awal dari 1 September

Hani kecewa kerana beliau telah membuat tempahan hotel dan sebagainya. Apakah yang boleh dibuat oleh Hani?

Hani telah diberi notis yang secukupnya tentang pemberhentian laluan tersebut. Dia boleh memilih sama ada:   

(i)   untuk mendapat bayaran balik sepenuhnya; atau

(ii) untuk terbang kemudian menurut jadual penerbangan baru yang diberi oleh syarikat penerbangan.

Ilustrasi 3

Muthu merancang untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupu beliau di Melbourne dan penerbangannya dijadualkan pada jam 10.00 pagi. Beliau tiba di pintu masuk pada jam 9.20 pagi apabila syarikat penerbangan membuat pengumuman bahawa penerbangannya akan ditunda disebabkan kelewatan pesawat. Muthu kecewa kerana tidak dimaklumkan mengenai kelewatan tersebut dan akan terlepas menghadiri sebuah acara pra-perkahwinan.

Penjadualan semula penerbangan tidak dapat dielakkan dalam industri penerbangan oleh sebab pelbagai keadaan operasi. Syarikat penerbangan bertanggungjawab untuk memaklumkan pengguna penerbangan berkenaan sebarang perubahan dalam status penerbangan sekurang-kurangnya dalam masa 30 minit atau dengan seberapa segeranya yang dianggap wajar.

Dalam kes ini, walaupun Muthu telah berada di lapangan terbang, syarikat penerbangan telah pun membuat aduan bahawa penerbangan Muthu akan ditunda oleh sebab kelewatan pesawat.

 

Ilustrasi 4

Ali telah membeli insurans perjalanan dan penerbangannya ditunda selama dua jam. Beliau ingin membuat tuntutan dengan syarikat insurans tersebut dan meminta Syarikat Penerbangan ABC untuk mengeluarkan satu surat pengesahan penundaan penerbangan.

Syarikat penerbangan tersebut seharusnya memberi Ali surat pengesahan penundaan penerbangan dalam tempoh tujuh hari bekerja.

Untuk keterangan lanjut, sila rujuk kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) – Bahagian II, Perenggan 8: Takat Perkhidmatan Minimum dan Standard Prestasi Syarikat Penerbangan dan Pengendali Aerodrom – Pemakluman Tentang Perubahan Status Penerbangan. xxx