Pilih satu Halaman

Pengguna / Orang Kurang Upaya

Orang Kurang Upaya

Penggunaan perkhidmatan udara adalah untuk semua orang dan undang-undang Malaysia menyifatkan diskriminasi terhadap orang kurang upaya sebagai sesuatu yang sangat serius. Semasa beroperasi di Malaysia, ketidakupayaan tidak boleh dijadikan sebagai alasan bagi suatu syarikat penerbangan untuk melarang sesiapa daripada menempah atau menaiki pesawat kecuali:

  • jika menaiki pesawat tersebut akan membawa implikasi kegagalan mematuhi keperluan keselamatan; atau
  • jika saiz fizikal pesawat atau pintunya membuatkan seseorang itu mustahil untuk menaiki pesawat.

Syarikat penerbangan haruslah memberi bantuan bagi penumpang kurang upaya bermula sejak tibanya di lapangan terbang sehingga pelepasan pesawat.Perkhidmatan kerusi roda adalah percuma bagi sesiapa yang mengemukakan Kad OKU (Orang Kurang Upaya).

Bagi pihak lapangan terbang pula, mereka hendaklah menyediakan papan arah yang mudah dibaca dan kemudahan di mana orang kurang upaya boleh memohon bantuan. Semua kakitangan hendaklah berpengetahuan tentang cara memberi bantuan kepada orang kurang upaya.

Jika anda adalah orang kurang upaya, anda seharusnya:

  • memaklumkan syarikat penerbangan anda mengenai ketidakupayaan anda sekurang-kurangnya 48 jam sebelum berlepas;
  • tiba di lapangan terbang tepat pada masa mengikut ketetapan syarikat penerbangan anda; dan
  • memaklumkan syarikat penerbangan jika anda memerlukan seseorang untuk menemani anda bagi memberi bantuan semasa tempoh penerbangan.

Syarikat penerbangan anda bertanggungjawab untuk bekerjasama dengan lapangan terbang dan syarikat penerbangan lain yang terlibat dengan penerbangan anda bagi memastikan anda menerima bantuan yang diperlukan.

Untuk butiran lanjut tentang bantuan yang harus disediakan oleh syarikat penerbangan dan lapangan terbang, sila rujuk kepada Jadual Kedua, Kod Perlindungan Pengguna.

Ilustrasi

Ali menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Beliau menempah penerbangan saat akhir dari Kuala Lumpur ke London yang dijadualkan untuk berlepas pada malam yang sama. Dia memberitahu syarikat penerbangan bahawa dia memerlukan bantuan khas di lapangan terbang dan sewaktu menaiki pesawat. Adakah syarikat penerbangan itu diwajibkan untuk menyediakan bantuan yang diperlukan walaupun menerima notis yang singkat?

  • Syarikat penerbangan menerima notis permohonan untuk bantuan khas secara harian. Bagi memastikan syarikat penerbangan boleh menyediakan bantuan khas, seperti dalam kes ini, iaitu bantuan kerusi roda, syarikat penerbangan itu perlu membuat penyelarasan dalaman dan permintaan untuk bantuan khas seperti kerusi roda mesti dibuat sekurang-kurangnya 48 jam sebelum tarikh perlepasan.
  • Dalam kes ini, permohonan hanya dibuat pada pagi tarikh perlepasan. Walaupun syarikat penerbangan tersebut tidak mempunyai obligasi untuk menyediakan bantuan khas, syarikat penerbangan perlu berusaha menggunakan semua cara yang munasabah untuk membantu Ali dan menyediakan bantuan khas yang diperlukan.

Untuk keterangan lanjut, sila rujuk kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) – Bahagian II, Perenggan 9: Takat Perkhidmatan Minimum dan Standard Prestasi Syarikat Penerbangan dan Pengendali Aerodrom – Tiada Diskriminasi Terhadap Orang Kurang Upaya.