Pengguna / Caj / Penambahan automatik
Penambahan automatik
Adakah anda tahu apa yang anda perolehi dengan tiket anda? Anda berhak untuk hanya membayar bagi perkhidmatan udara yang anda telah pohon atau persetujui. Ini bermakna syarikat penerbangan tidak boleh secara automatik menambah sebarang perkhidmatan (misalnya, pilihan tempat duduk, bagasi daftar masuk atau insurans perjalanan) ke dalam harga tiket tanpa pengetahuan anda.
Syarikat penerbangan hendaklah menyatakan secara jelas perkhidmatan tambahan yang ditawarkan dan harga bagi setiap perkhidmatan tambahan tersebut pada permulaan proses tempahan. Anda juga berhak untuk memilih sama ada hendak menambah atau tidak perkhidmatan tambahan tersebut. Jika perkhidmatan tersebut ditambah ke dalam harga tiket tanpa kebenaran anda, hubungi syarikat penerbangan tersebut atau MAVCOM secepat mungkin.
Ilustrasi
Hani sedang merancang lawatan sehari ke Singapura untuk menghadiri mesyuarat. Dia memutuskan untuk membawa bagasi tangannya sahaja yang kurang daripada 7kg. Sewaktu membuat tempahan dengan Syarikat Penerbangan ABC, sistem syarikat tersebut membuat penambahan bagasi dan insurans secara automatik kepada jadual perjalanan Hani. Bolehkah Hani mendapatkan bayaran balik untuk kos bagasi dan insurans yang telah ditambah secara automatik?
- Syarikat penerbangan dilarang menambah perkhidmatan secara automatik seperti insurans bermula daripada 31 Ogos 2016. Akan tetapi, pengguna digalakkan untuk membeli insurans perjalanan kerana ia meliputi perlindungan untuk keadaan di luar dugaan seperti insiden perubatan dan keadaan kecemasan lain apabila berada di luar negara.
- Dalam kes ini, Syarikat Penerbangan ABC tidak patut menambah perkhidmatan bagasi dan insurans ke jadual perjalanan Hani. Hani layak untuk mendapat bayaran balik untuk kos perkhidmatan bagasi dan insurans tersebut.
Untuk keterangan lanjut, sila rujuk kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) – Bahagian II, Perenggan 5: Takat Perkhidmatan Minimum dan Standard Prestasi Syarikat Penerbangan dan Pengendali Aerodrom – Larangan Menambah Perkhidmatan Secara Automatik.
Anda juga boleh merujuk kepada video animasi pendek kami berkenaan topik ini: