Pengguna / Syarikat Penerbangan dan Harga Tiket / Pendedahan mengenai maklumat syarikat penerbangan
Pendedahan mengenai maklumat syarikat penerbangan
Semasa perjalanan udara, kadangkala anda akan mendapati bahawa pesawat yang anda naiki dimiliki oleh suatu syarikat penerbangan (juga dikenali sebagai “syarikat penerbangan pengendali”) yang berbeza daripada syarikat yang menjual tiket perjalanan tersebut kepada anda. Perkara ini sering berlaku apabila adanya suatu “perjanjian perkongsian kod” antara dua syarikat penerbangan.
Sebelum anda membeli tiket penerbangan, anda berhak untuk dimaklumkan dengan jelas tentang syarikat penerbangan yang akan mengendalikan pesawat yang anda bakal naiki. Jika syarikat penerbangan yang akan mengendalikan pesawat tersebut berubah selepas anda telah membeli tiket, anda berhak untuk dimaklumkan mengenainya secepat mungkin.
Sekiranya ini tidak berlaku untuk penerbangan anda, sila maklumkan perkara ini kepada syarikat penerbangan yang menjual tiket tersebut kepada anda.
Ilustrasi
Ali telah membeli tiket penerbangan ke Amsterdam daripada Syarikat Penerbangan ABC. Sebelum menaiki pesawat, dia mendapati bahawa penerbangan tersebut dikendalikan oleh Syarikat Penerbangan XYZ dan merupakan penerbangan perkongsian kod. Dia hairan kerana tidak diberitahu tentang hal ini lebih awal sewaktu pembelian tiket.
- Kadangkalanya, syarikat penerbangan akan memasuki perjanjian perkongsian kod dengan syarikat penerbangan lain di mana tempahan boleh dibuat dengan salah satu syarikat penerbangan tersebut.
- Semasa pembelian tiket, penumpang mempunyai hak untuk dimaklumkan dengan jelas tentang syarikat penerbangan yang akan mengendalikan penerbangan yang bakal dinaiki.
- Dalam kes seperti ini, Ali berhak untuk dimaklumkan tentang syarikat penerbangan yang akan mengendalikan pesawat beliau pada waktu membuat tempahan tiket atau dengan seberapa segeranya yang dianggap wajar.
Untuk keterangan lanjut, sila rujuk kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) – Bahagian II, Perenggan 6: Takat Perkhidmatan Minimum dan Standard Prestasi Syarikat Penerbangan dan Pengendali Aerodrom – Identiti Syarikat Penerbangan yang Beroperasi.
Anda juga boleh merujuk kepada video animasi pendek kami berkenaan topik ini: