Pilih satu Halaman

Pengguna / Sebelum Penerbangan Anda / Pengiklanan

Pengiklanan

Terdapat kemungkinan pengguna tidak dapat menaiki penerbangan di atas beberapa sebab seperti kesihatan, kematian, kecemasan dan lain-lain. Pengguna boleh meminta bayaran balik kerana tidak dapat menaiki penerbangan tersebut. Namun begitu, nilai bagi pembayaran balik tiket penerbangan bergantung kepada jenis tiket yang dibeli iaitu – tiket yang tiada nilai bayaran balik (non-refundable ticket) atau tiket yang mempunyai nilai bayaran balik (refundable ticket). 

Selalunya, tiket yang tiada nilai bayaran balik (non-refundable ticket) tidak mempunyai nilai bagi bayaran balik (kecuali untuk bayaran balik bagi cukai lapangan terbang atau cukai yang dikenakan oleh kerajaan). Disebabkan pengguna tidak menaiki penerbangan, kemudahan di lapangan terbang tidak digunakan dan pengguna boleh menuntut bayaran balik bagi kedua-dua cukai tersebut. Namun begitu, syarikat penerbangan mungkin akan mengenakan fi pemprosesan sehingga sebanyak lima peratus berdasarkan cukai lapangan terbang atau cukai yang dikenakan oleh kerajaan. Bayaran balik itu juga akan diremitkan melalui kaedah pembayaran asal. 

Bayaran tambahan sebanyak lima peratus ini tidak akan dikenakan terhadap tiket yang mempunyai nilai bayaran balik (refundable ticket) di mana Terma dan Syarat bagi tiket jenis ini akan terpakai. 

Bayaran balik mesti diremit kepada pengguna dalam tempoh 30 hari dari tarikh permohonan bayaran balik tersebut.

Bagi tiket penerbangan yang dibeli melalui ejen pelancongan atau laman web pelancongan, syarikat penerbangan hendaklah membuat pembayaran balik kepada ejen pelancongan dalam tempoh 30 hari dari tarikh permohonan oleh ejen pelancongan tersebut. 

Ilustrasi 1

Lee membeli tiket penerbangan ke Brussels daripada laman web Syarikat Penerbangan ABC dengan harga RM9,500. Malangnya, beliau tidak dapat menaiki penerbangan tersebut disebabkan kematian salah seorang ahli keluarganya. Lee membeli tiket penerbangan yang mempunyai nilai bayaran balik (refundable), namun begitu syarikat penerbangan mengenakan caj pembayaran balik sebanyak RM500.

Apakah nilai pembayaran balik yang sepatutnya diberi oleh syarikat penerbangan? 

Oleh kerana pembayaran balik bagi tiket yang mempunyai nilai bayaran balik (refundable) adalah berdasarkan Terma dan Syarat tiket tersebut, caj bagi bayaran balik akan dikenakan. Oleh itu, Lee hanya akan mendapat bayaran balik sebanyak RM9,000.

Syarikat penerbangan ABC tidak dibenarkan untuk mengenakan caj tambahan sebanyak lima peratus berdasarkan cukai lapangan terbang atau cukai yang dikenakan oleh kerajaan.

Ilustrasi 2

Logan membeli tiket penerbangan ke Langkawi daripada laman web syarikat penerbangan ABC dengan harga RM500. Sehari sebelum penerbangan, beliau jatuh sakit dan doktor beliau menasihatkan agar jangan meneruskan perjalanan. Tiket yang dibeli oleh Logan adalah tiket yang tiada nilai bayaran balik (non-refundable ticket). 

Apakah nilai pembayaran balik yang sepatutnya diberi oleh syarikat penerbangan? 

Oleh kerana Logan telah membeli tiket yang tiada nilai bayaran balik (non-refundable ticket), beliau berhak untuk mendapatkan bayaran balik bagi cukai lapangan terbang, tertakluk kepada yuran pemprosesan maksima lima peratus. Caj perkhidmatan pengguna atau caj bagi lapangan terbang perlu diremitkan melalui kaedah pembayaran asal.

Illustrasi 3

Ali telah membeli tiket penerbangan melalui Ejen Pelancongan Dalam Talian. Beliau terlepas penerbangannya dengan syarikat penerbangan ABC atas sebab kesihatan dan ingin memohon untuk pembayaran balik. 

Adakah Ali berhak untuk mendapatkan pembayaran balik?

Ali mesti terlebih dahulu menghubungi Ejen Pelancongan Dalam Talian tersebut untuk permohonan bayaran balik. Terma dan Syarat serta polisi bayaran balik di antara Ejen Pelancongan Dalam Talian dan pengguna akan terpakai. Sekiranya Ali berhak untuk mendapat bayaran balik, syarikat penerbangan akan meremit bayaran balik tersebut ke Ejen Pelancongan Dalam Talian dalam tempoh 30 hari.