Pilih satu Halaman

Pengguna / Syarikat Penerbangan dan Harga Tiket / Terma dan syarat-syarat

Terma dan syarat-syarat

Kebanyakan pengguna sememangnya tertanya-tanya apakah sebenarnya yang dibayar apabila menempah tiket penerbangan. Inilah sebabnya mengapa kami mewajibkan semua syarikat penerbangan mendedahkan terma dan syarat-syarat penerbangan anda secara penuh dalam apa yang dikenali sebagai “kontrak pengangkutan” atau “Terma dan Syarat-syarat”. Anda seharusnya dimaklumkan mengenai kontrak pengangkutan atau Terma dan Syarat-syarat sebelum anda membeli tiket, dan ia hendaklah mengandungi maklumat yang berikut:

  • sebarang syarat atau sekatan terhadap harga tiket anda;
  • polisi pembayaran balik atau tempahan semula;
  • polisi peruntukan bagasi;
  • cukai dan fi yang dikenakan oleh kerajaan;
  • fi dan caj yang dikenakan oleh Suruhanjaya;
  • apa-apa caj, surcaj dan fi lain (seperti fi pentadbiran, fi pemprosesan pemulangan wang, fi pembatalan, fi bagasi dll.);
  • butiran hubungan syarikat penerbangan; dan
  • maklumat lain yang diperlukan untuk memaklumkan penumpang tentang syarat dan jumlah keseluruhan harga tiket yang dibeli.

Kontrak pengangkutan atau Terma dan Syarat-syarat (atau maklumat tentang di mana ia boleh didapati, lazimnya di laman web syarikat tersebut) juga perlu dicetak atau dilampirkan bersama-sama dengan tiket atau pas masuk pesawat.

Ilustrasi

Ali membeli tiket penerbangan yang tiada nilai bayaran balik (non-refundable ticket) untuk penerbangan ke London. Oleh kerana kadar pertukaran wang asing yang tinggi, beliau telah memutuskan untuk tidak meneruskan penerbangannya sekarang. Beliau meminta Syarikat Penerbangan ABC untuk menukar tarikh perjalanan atau membayar balik harga penuh tiket penerbangan. Adakah Ali berhak untuk diberikan bayaran balik?

  •  Setiap syarikat penerbangan mempunyai terma dan syarat tersendiri yang dinyatakan dengan jelas sewaktu pembelian tiket. Pengguna adalah amat dinasihatkan untuk membaca terma dan syarat sebelum membeli tiket.
  • Dalam kes ini, Ali perlu merujuk kepada terma dan syarat yang disertakan dengan tiketnya untuk mengetahui sama ada dia dibenarkan untuk menukar tarikh penerbangan.
  • Kerana beliau membeli tiket yang tiada nilai bayaran balik (non-refundable ticket), dia tidak akan mendapat bayaran balik sepenuhnya. Walau bagaimanapun, beliau boleh meminta bayaran balik untuk Caj Perkhidmatan Penumpang jika beliau memutuskan untuk tidak meneruskan penerbangan. Setiap syarikat penerbangan mungkin mempunyai yuran pemprosesan masing-masing yang akan dikenakan bagi memperoleh bayaran balik.

Di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (Pindaan) 2019, syarikat penerbangan bertanggungjawab untuk memaparkan lima Terma dan Syarat utama pada waktu pembelian tiket penerbangan, iaitu:

  1. fi pembatalan;
  2. polisi bayaran balik dan tempahan semula;
  3. polisi bagi pengguna penerbangan yang gagal untuk:
    1. hadir ke kaunter daftar masuk;
    2. hadir ke pintu masuk dalam tempoh yang ditetapkan;
    3. menaiki pesawat pada waktu perlepasan yang tertentu;
  4. polisi peruntukan bagasi; dan
  5. kesahan dokumen perjalanan penumpang.

Bagi tiket penerbangan yang dibeli melalui ejen pelancongan, ejen pelancongan yang dilantik oleh syarikat penerbangan juga seharusnya memberitahu pengguna penerbangan mengenai lima Terma dan Syarat utama sebelum pengguna membeli tiket.

Untuk keterangan lanjut, sila rujuk kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) – Bahagian II, Perenggan 7: Takat Perkhidmatan Minimum dan Standard Prestasi Syarikat Penerbangan dan Pengendali AerodromPenzahiran Mengenai Terma dan Syarat.

Anda juga boleh merujuk kepada video animasi pendek kami berkenaan topik ini: