Pilih satu Halaman
Sumber-Sumber / Arkib / Penyertaan MAVCOM dalam Hari Pengguna Kebangsaan 2022

Penyertaan MAVCOM dalam Hari Pengguna Kebangsaan 2022

 

Pada 26 Mac 2022 bersempena dengan Hari Hak Pengguna Sedunia, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menyertai sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2022 (HPK 2022) yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui sub-jenama MAVCOM bagi para pengguna iaitu FlySmart. FlySmart adalah inisiatif MAVCOM yang telah ditubuhkan untuk meningkatkan kesedaran, mendidik dan memperkasakan para pengguna tentang hak mereka sebagai pengguna penerbangan.

‘Digitalisasi Pengguna’ adalah tema yang dipilih untuk sambutan HPK 2022 bagi tahun ini. Tema ini bersesuaian dengan norma baharu pengguna yang menggunakan perkhidmatan dan melakukan transaksi secara dalam talian yang merupakan sebahagian besar urusan kehidupan seharian mereka.

Sambutan HPK 2022 yang diadakan di pusat membeli belah Nu Sentral itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob. Majlis tersebut turut menyaksikan kehadiran Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang menyampaikan ucapan perasmian. Timbalan Menteri KPDNHEP, YB Dato’ Haji Rasol bin Wahid dan Ketua Setiausaha KPDNHEP, YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam bin Haji Ahmad turut menyerikan majlis tersebut. MAVCOM diwakili Ketua Pegawai Operasi, Raja Azmi bin Raja Nazuddin berserta Pengarah Hal Ehwal Pengguna, Puan Pushpalatha Subramaniam yang turut hadir bersama.

Semasa acara berlangsung, pasukan FlySmart telah mendidik pengguna tentang hak-hak mereka sebagai penumpang dan memperkasakan pengguna untuk melaksanakan hak-hak mereka sebelum, semasa dan selepas melakukan penerbangan. Sementara itu, pasukan FlySmart juga menyediakan pengguna untuk pembukaan semula sempadan negara pada 1 April 2022 dengan memperkenalkan panduan Nasihat Perjalanan FlySmart yang boleh didapati di laman web dan aplikasi mudah alih FlySmart. Panduan Nasihat Perjalanan FlySmart tersebut mengandungi maklumat terkini mengenai peraturan dan sekatan perjalanan udara, serta sekatan sempadan, keperluan ujian COVID-19, dan vaksinasi dari seluruh dunia. Oleh disebabkan peraturan perjalanan sedunia sentiasa berubah, ia adalah amat penting bagi pengguna untuk mengetahui keperluan perjalanan udara terkini sebelum mereka melakukan perjalanan.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang hak-hak perjalanan udara anda, sila log masuk ke www.flysmart.my. Anda juga boleh memuat turun aplikasi mudah alih FlySmart di sini.