Pilih satu Halaman
Sumber-Sumber / Soalan Lazim (FAQs)

Soalan Lazim (FAQs)

Mengenai MAVCOM

1. Apakah Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM)?

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) merupakan sebuah badan bebas yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 untuk mengawal selia sektor penerbangan awam di dalam aspek komersial dan ekonomi. Matlamat kami adalah untuk melahirkan industri penerbangan yang berdaya maju, berteraskan kepentingan kepenggunaan serta berdaya saing bagi mendokong pertumbuhan ekonomi negara. Fungsi MAVCOM adalah termasuk mengawal selia hal-ehwal ekonomi berkaitan industri penerbangan awam; menyediakan mekanisme perlindungan bagi pengguna serta mekanisme bagi penyelesaian pertikaian di antara ahli industri penerbangan; mentadbir dan menguruskan hak-hak trafik udara; serta menasihati pihak Kerajaan, mentadbir dan menguruskan laluan-lauan penerbangan yang tertakluk di bawah Kewajipan Perkhidmatan Awam.

2. Apakah tanggungjawab MAVCOM?

MAVCOM bertanggungjawab terhadap hal-ehwal berkaitan penerbangan, termasuk:

  • mengawal selia urusan ekonomi berkaitan industri penerbangan awam;
  • menyediakan mekanisme perlindungan pengguna;
  • menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian antara ahli industri penerbangan;
  • mentadbir dan mengurus hak-hak trafik udara; dan
  • menasihati pihak Kerajaan, mentadbir dan menguruskan laluan-laluan di bawah kewajipan perkhidmatan awam.

3. Apakah latar belakang penubuhan MAVCOM?

Penubuhan MAVCOM merupakan salah satu inisiatif yang termaktub di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) sebagai kaedah untuk memperbaiki struktur industri penerbangan awam. Susulan itu, Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 telah digubal dan diluluskan oleh Parlimen yang membawa kepada penubuhan rasmi Suruhanjaya ini pada 1 Mac 2016.

Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015

1. Bagaimana saya boleh mempelajari Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015?

Anda boleh memuat turun keseluruhan Akta menerusi pautan ini.

Aduan Pengguna

1. Sebagai pengguna, bagaimana boleh saya kemukakan aduan kepada MAVCOM?

Sebagai langkah permulaan, kami menyarankan agar anda menghubungi syarikat penerbangan atau lapangan terbang berkaitan bagi memberi peluang kepada mereka untuk menyelesaikan isu anda. Susulan itu, jika anda tidak berpuas hati dengan maklum balas yang diberikan oleh pihak syarikat penerbangan atau lapangan terbang terbabit, anda boleh kemukakan aduan anda kepada kami menerusi borang dalam talian.

2. Apakah perkara berkaitan penerbangan yang boleh saya adukan kepada MAVCOM?

Kami akan menerima aduan berkaitan apa sahaja perkhidmatan penerbangan di Malaysia. Sila berhubung dengan kami jika aduan anda berkait dengan syarikat penerbangan dan/atau lapangan terbang yang membabitkan penerbangan yang sama ada mendarat atau berlepas dari Malaysia.

3. Bagaimanakah saya boleh memeriksa status aduan yang saya kemukakan?

Selepas anda mengemukakan aduan, anda akan menerima e-mel pemberitahuan beserta nombor rujukan kes. Sila simpan nombor rujukan tersebut untuk tujuan semakan status aduan anda menerusi halaman Semak Status. 

4. Saya terlupa nombor rujukan kes? Bagaimana boleh saya dapatkannya semula?

Anda boleh e-mel kami di consumer@mavcom.my dan kami akan membantu mengesannya semula.

5. Apa akan berlaku selepas saya kemukakan aduan kepada MAVCOM?

MAVCOM akan mengkaji dan menilai semua aduan dalam tempoh 14 hari ianya diterima. Selepas itu, kami akan menyalurkan aduan tersebut kepada syarikat penerbangan dan/atau lapangan terbang untuk mendapatkan maklumbalas daripada mereka. Syarikat penerbangan dan/atau lapangan terbang dikehendaki untuk memberi resolusi kepada anda di dalam tempoh 30 hari. Susulan dari itu, MAVCOM akan meneliti resolusi mereka dan, jika perlu, membuat keputusan tentang kes aduan tersebut. Sila rujuk Soalan Lazim Pengguna (FAQs) untuk lebih banyak FAQ berkaitan tambang udara, penundaan penerbangan, pembatalan penerbangan, dilarang menaiki pesawat, orang kurang upaya, bagasi hilang/rosak/lewat, pampasan, identiti syarikat penerbangan dan kemudahan-kemudahan lapangan terbang.

Hal-ehwal Industri Penerbangan

1. Apakah ada kemungkinan MAVCOM akan menggalakkan dasar perlindungan terhadap syarikat penerbangan tertentu?

Mandat kami adalah untuk mempromosikan pertumbuhan industri penerbangan negara. Menurut undang-undang, kami dikehendaki melaksanakan tugas kami dengan saksama tanpa memihak kepada mana-mana syarikat penerbangan atau kepentingan kumpulan industri tertentu.

2. Jika saya sebuah syarikat penerbangan, bagaimanakah caranya untuk menyemak penyelesaian pertikaian?

Lihat seksyen penyelesaian pertikaian dalam laman web kami untuk butiran lanjut. Bagi mengutarakan permintaan untuk penyelesaian pertikaian, sila kenal pasti dan muat turun borang berkaitan dari seksyen Sumber-sumber di laman web kami.

Permohonan Lesen

1. Apakah proses dan prosedur untuk memohon lesen syarikat penerbangan?

Anda boleh memohon Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) atau Permit Perkhidmatan Udara (ASP) daripada MAVCOM, dan menghantar permohonan bertulis anda kepada MAVCOM untuk penilaian kami. Borang-borang dan templat permohonan boleh dimuat turun dari seksyen Sumber-sumber di laman web kami. Semak keterangan lesen/permit yang anda mohon bagi memastikan anda memohon lesen/permit yang bersesuaian. MAVCOM akan hanya menilai permohonan anda sebaik sahaja menerima permohonan bertulis, dokumen sokongan serta bayaran yang berkaitan. Permohonan bagi Sijil Pengendali Udara (AOC) hendaklah dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Soalan Lazim mengenai Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS)

Soalan mengenai penyingkiran lapan laluan RAS

1. Mengapakah lapan laluan ditarik keluar dari program RAS?

Penetapan destinasi dan laluan RAS tertakluk kepada keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan, selaras dengan peruntukan yang ditetapkan di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771].

Menurut Akta 771, ‘obligasi perkhidmatan awam’ ditakrifkan sebagai pengadaan suatu perkhidmatan bagi membawa melalui udara atau penggunaan mana-mana pesawat udara untuk membawa penumpang, mel atau kargo untuk sewa atau upah bagi suatu perjalanan berjadual di antara aerodrom yang tidak akan dibuat oleh syarikat penerbangan jika syarikat penerbangan itu hanya menimbangkan kepentingan komersialnya semata-mata.

Pada tahun 2016, MAVCOM telah membuat kajian semula terhadap program RAS dan seterusnya mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk mengelaskan enam laluan dari program RAS (iaitu laluan Kuching-Sibu, Kuching-Bintulu, Kuching-Miri, Kota Kinabalu-Miri, Kota Kinabalu-Tawau and Kota Kinabalu-Sandakan) setelah mengambil kira potensi komersial laluan-laluan tersebut. Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan cadangan MAVCOM dan memutuskan untuk menarik keluar enam laluan tersebut dari program RAS.

Pada 23 November 2018, Jemaah Menteri meluluskan pengendalian operasi laluan Kota Kinabalu-Sibu dan Kota Kinabalu-Bintulu oleh AirAsia Berhad mulai Januari 2019. Keputusan ini dibuat dengan mengambilkira kesediaan AirAsia untuk mengendalikan laluan-laluan tersebut dan maklum balas daripada pihak berkepentingan tempatan serta pegawai Kerajaan.

2. Mengapakah laluan-laluan tersebut ditarik keluar berbanding laluan-laluan RAS yang lain?

Keenam-enam laluan iaitu Kuching-Sibu, Kuching-Bintulu, Kuching-Miri, Kota Kinabalu-Miri, Kota Kinabalu-Tawau dan Kota Kinabalu-Sandakan tidak lagi memenuhi definisi ‘Obligasi Perkhidmatan Awam’ dan tidak layak untuk dikategorikan sebagai RAS di bawah Akta 771. Tambahan pula, laluan-laluan tersebut dioperasikan oleh MASwings bersama syarikat penerbangan lain seperti AirAsia, Malaysia Airlines atau kedua-duanya.

Akta 771, mentakrifkan ‘obligasi perkhidmatan awam’ sebagai pengadaan suatu perkhidmatan bagi membawa melalui udara atau penggunaan mana-mana pesawat udara untuk membawa penumpang, mel atau kargo untuk sewa atau upah bagi suatu perjalanan berjadual di antara aerodrom yang tidak akan dibuat oleh syarikat penerbangan jika syarikat penerbangan itu hanya menimbangkan kepentingan komersialnya semata-mata.

3. Apakah yang akan berlaku setelah lapan laluan ini menjadi laluan komersial?

Perubahan status laluan-laluan tersebut sebagai laluan komersial akan menggalakkan lagi penglibatan syarikat penerbangan tempatan untuk beroperasi di laluan tersebut dan seterusnya menyediakan lebih banyak pilihan penerbangan. Apabila syarikat penerbangan komersial beroperasi di laluan ini, pengguna penerbangan akan diberikan lebih banyak pilihan dan keselesaan dengan penggunaan pesawat yang lebih besar serta tambang udara yang lebih kompetitif.

4. Mengapa MASwings tidak terus beroperasi di lapan laluan ini?

MASwings merupakan syarikat penerbangan yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengendalikan laluan RAS. Kos operasi untuk pengendalian laluan RAS oleh MASwings ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia dalam bentuk subsidi dan pembayaran sewa pajakan pesawat. MASwings tidak perlu beroperasi di sebarang laluan yang tidak dikontrakkan di bawah program RAS. Walau bagaimanapun, MASwings boleh memilih untuk mengendalikan laluan yang dikeluarkan dari program RAS tanpa menerima subsidi daripada Kerajaan Persekutuan.

5. Adakah kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dirujuk sebelum lapan laluan ini ditarik keluar?

MAVCOM telah bertemu and berbincang dengan hampir 100 orang di Kuching, Sibu, Kapit, Miri dan Bario di Sarawak, Labuan serta di Kota Kinabalu dan Tawau di Sabah, semasa membuat tinjauan mengenai program RAS pada tahun 2016. Perbincangan mengenai keperluan RAS bagi masyarakat setempat telah diadakan dengan Kerajaan Negeri, pegawai daerah, pegawai kesihatan, pegawai pendidikan, wakil kampung dan masyarakat, agensi pelancongan serta datuk bandar di beberapa bandar dan kota. Maklum balas yang didapati hasil daripada mesyuarat-mesyuarat ini telah dipertimbangkan dalam cadangan Suruhanjaya kepada Kerajaan Persekutuan.

Soalan mengenai operasi MASwings

1. Mengapakah MASwings kekal sebagai pengendali RAS?

Kerajaan Malaysia telah melanjutkan kontrak MASwings yang tamat pada 30 September 2017. Pelanjutan ini dibuat berasaskan pengalaman MASwings sebagai pengendali RAS sejak sepuluh tahun yang lalu dan komitmen berterusan MASwings untuk berkhidmat kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Memandangkan operasi RAS memerlukan kepakaran khusus, termasuk keupayaan teknikal yang tinggi untuk mengendalikan penerbangan di kawasan pedalaman Malaysia Timur, adalah penting bahawa MASwings kekal sebagai pengendali RAS untuk memastikan keselamatan para pengguna penerbangan dan kestabilan perkhidmatan yang disediakan.

2. Bolehkah MASwings mengendalikan penerbangan komersial?

Ya. Walau bagaimanapun, syarikat penerbangan itu tidak akan menerima apa-apa subsidi daripada Kerajaan untuk mengendalikan operasi bagi mana-mana laluan komersial dan perlu menanggung semua kos yang berkaitan dengannya.

Soalan am mengenai RAS

1. Berapa lamakah tempoh program RAS?

Perjanjian RAS di antara Kerajaan Persekutuan dan MASwings adalah dari tahun 2019 hingga 2024.

2. Adakah Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) dikenakan bagi perkhidmatan RAS?

Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) adalah suatu caj aeronautikal yang dikenakan ke atas penumpang yang berlepas bagi laluan domestik dan antarabangsa dari semua lapangan terbang dalam negara. PSC dikutip oleh syarikat penerbangan semasa pembelian tiket dan dibayar kepada pengendali lapangan terbang selepas penerbangan.

PSC ini dikutip oleh MAHB untuk perkhidmatan lapangan terbang yang disediakan. Oleh itu, beberapa lapangan terbang yang lebih besar seperti Kuching, Limbang, Miri, Mulu, Bintulu, Sibu dan Tanjung Manis di Sarawak, Labuan dan Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu di Sabah akan mengenakan PSC domestik sebanyak RM11 bagi setiap perjalanan RAS yang dilaksanakan. Walau bagaimanapun, MAHB telah mengecualikan PSC di STOLport seperti di Marudi, Bario, Mukah dan lain-lain.

3. Adakah MAVCOM menjangkakan lebih banyak laluan RAS akan bertukar menjadi laluan komersial dan dibuka kepada syarikat penerbangan lain?

Suruhanjaya menjalankan kajian berkala mengenai rangkaian RAS untuk menentukan sama ada laluan tersebut boleh berdaya maju dari segi komersial. Sekiranya boleh, Suruhanjaya akan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan penukaran status laluan RAS kepada laluan komersial dan membenarkan syarikat penerbangan lain mengendalikan operasi ke atas laluan tersebut.

Caj Perkhidmatan Pengawalseliaan

1. Bilakah caj perkhidmatan pengawalseliaan sebanyak RM1 akan berkuatkuasa sebagai sebahagian daripada tambang penerbangan penumpang?

Caj perkhidmatan pengawalseliaan sebanyak RM1 akan berkuatkuasa pada tarikh 1 Mei 2018. Kesemua tiket penerbangan yang dibeli dari tarikh ini dan seterusnya akan dikenakan caj ini sebagai sebahagian daripada cukai mandatori dan fi yang dikenakan.

2. Adakah semua penumpang perlu membayar caj RM1 ini? Adakah terdapat pengecualian?

Caj RM1 akan dikenakan terhadap semua penumpang udara yang berlepas dari Malaysia. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian di mana caj ini tidak akan dikenakan terhadap:

  • Penumpang transit yang keluar dari penerbangan domestik / antarabangsa dan memulakan penerbangan domestik / antarabangsa lain dalam tempoh 12 jam
  • Peralihan yang tidak disengajakan disebabkan masalah teknikal, keadaan cuaca atau sebab-sebab lain yang sah
  • Kru pesawat udara yang bertugas
  • Kanak-kanak di bawah usia dua tahun dengan atau tanpa tempat duduk
  • Perkhidmatan Penerbangan Luar Bandar (RAS) yang dikendalikan oleh pengendali RAS

Penumpang boleh mendapat bayaran balik untuk caj ini sekiranya tidak meneruskan penerbangan mereka.

3. Apa yang akan dilakukan oleh MAVCOM dengan jumlah yang dikumpulkan?

Tujuan caj perkhidmatan pengawalseliaan sebanyak RM1 ini adalah untuk membiayai kos operasi MAVCOM dan supaya Suruhanjaya ini berfungsi dengan berkesan sebagai pengawalselia bebas.

4. Bagaimanakah MAVCOM akan menggunakan wang yang dikumpulkan?

MAVCOM komited untuk sentiasa telus dalam menjalankan operasi kawalselia, serta mengamalkan polisi terbuka melalui laporan kewangan kami. Akaun tahunan Suruhanjaya diaudit oleh Ketua Audit Negara dan Laporan Tahunan yang mengandungi penyata kewangan bagi tahun yang disemak akan dimuatnaik di laman web kami.

5. Adakah harga caj perkhidmatan pengawalseliaan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang?

Tidak. MAVCOM berhasrat untuk mengekalkan caj pada kadar harga RM1, bagi tempoh tidak kurang dari 5 tahun akan datang.

Menghubungi Suruhanjaya

1. Bagaimana saya boleh menghubungi MAVCOM?

Bagi aduan pengguna, anda boleh gunakan borang dalam talian kami. Bagi sebarang pertanyaan berkenaan dengan Bahagian VII (Persaingan), Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015, sila e-mel kepada: competition@mavcom.my. Bagi sebarang pertanyaan, anda boleh e-mel kami di enquiries@mavcom.my atau telefon kami di 03-2772 0600.