Newsroom / Announcements / Kenyataan Media Oleh YB Dato’ Sri Liow Ting Lai, Menteri Pengangkutan
Kenyataan Media Oleh YB Dato’ Sri Liow Ting Lai, Menteri Pengangkutan
Liow: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia Bakal Mempertingkat Industri Penerbangan Negara
Kuala Lumpur – 1 Mac 2016 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia Bakal Mempertingkat Industri Penerbangan Negara Selaras dengan komitmen Kerajaan untuk memperkukuhkan industri penerbangan negara, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia telah ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015.
Suruhanjaya yang diletakkan di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan ini akan berfungsi sebagai badan kawal selia dalam aspek ekonomi bagi industri penerbangan awam. Ia juga akan memainkan peranan penting dalam mengekalkan daya saing Malaysia dalam sektor penerbangan di rantau ini.
Sebagai sebuah badan kawal selia yang bebas, antara tanggungjawab dan bidang kuasa Suruhanjaya ini termasuk perlesenan penerbangan, caj lapangan terbang, peruntukan laluan udara, penyelesaian pertikaian dan perlindungan hak pengguna. Suruhanjaya yang mula berkuatkuasa pada 1 Mac 2016 ini akan diterajui oleh Y.Bhg. Jen. (B) Tan Sri Dato’ Sri Abdullah bin Ahmad selaku Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya. Beliau akan turut disertai oleh Ahli-ahli Suruhanjaya, iaitu:
- Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Seri Chor Chee Heung
- Y.Bhg. Datuk Mah Weng Kai
- Y.Bhg. Dato’ Ir. Dr. Shaik Hussein bin Mydin
- Y.Bhg. Datuk Seri Long See Wool
- Y.Bhg. Dato’ Fauziah Yaacob
- Y.Brs. Dr. Nungsari Ahmad Radhni
Di samping itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan turut memegang jawatan sebagai ahli tetap dalam Suruhanjaya Penerbangan Malaysia ini.
Saya yakin bahawa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia akan menyumbang kepada usaha berterusan negara dalam mengukuhkan mutu penerbangan negara serta menangani cabaran sedia ada, bagi memajukan sektor penerbangan Malaysia seiring dengan aspirasi negara untuk menjadi hab utama industri penerbangan di rantau ini.